fb fb fb fb fb

PBB gesa hasil pertanian Russia, Ukraine dikembalikan ke pasaran dunia

(FOTO REUTERS)

NEW YORK, 20 Mei - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa supaya usaha dilakukan untuk mengembalikan hasil pertanian Russia dan Ukraine ke pasaran dunia.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan perjanjian yang akan membolehkan Ukraine mengeksport makanan dan membawa pengeluaran makanan dan baja Rusia ke pasaran dunia tanpa sekatan.

(Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres / FOTO REUTERS)

"Kami sedang berusaha ke arah suatu perjanjian pakej yang akan membolehkan Ukraine mengeksport makanan bukan saja menggunakan kereta api tetapi juga menerusi Laut Hitam, selain bakal membawa makanan serta baja keluaran Russia kembali ke dalam pasaran dunia tanpa sekatan," katanya pada mesyuarat Majlis Keselamatan mengenai konflik dan keselamatan makanan.

Guterres berkata, usaha itu memerlukan semangat muhibah dalam kalangan semua negara berkaitan.

Tambah Guterres, sebarang penyelesaian bermakna kepada kekurangan bekalan makanan global memerlukan penyepaduan semula pengeluaran pertanian Ukraine, selain pengeluaran makanan dan baja oleh Rusia dan Belarus ke pasaran dunia walaupun ketika perang.

Sementara itu, bagi memenuhi keperluan keselamatan makanan dan pemakanan yang mendesak di Niger, Mali, Chad dan Burkina Faso, PBB mengumumkan pengeluaran AS$30 juta daripada Tabung Respons Kecemasan Pusat bagi tujuan itu.-REUTERS

Media Baharu