(Orang ramai beratur untuk membuang undi semasa pusingan kedua dan terakhir
pilihan raya presiden Timor Timur di Dili, Timor Timur, 19 April 2022/FOTO FAIL REUTERS)
DILI, 20 Mei- Pemimpin bebas yang juga pemenang Nobel, Jose Ramos-Horta, dilantik sebagai Presiden kelima Timor-Leste.
Ramos-Horta,72, yang mengangkat sumpah jawatan di Dili sejurus sebelum tengah malam, berikrar bahawa beliau mewakili seluruh rakyat negara ini dan akan berusaha mengukuhkan perpaduan nasional.
Beliau yang pernah menyandang jawatan sama dari 2007 hingga 2012, selain berpengalaman menjadi Perdana Menteri dan Menteri Luar, juga mahu menjalinkan hubungan lebih rapat dengan China.
"Kami berhasrat untuk meningkatkan kerjasama bilateral dengan China, terutama dalam bidang pertanian organik dan mampan, industri kecil, perdagangan, teknologi baharu, tenaga diperbaharui, kesalinghubungan, pendigitalan, kecerdasan buatan serta infrastruktur bandar dan pedalaman," katanya.
(Pemenang Hadiah Nobel Jose Ramos Horta, Presiden Timor-Leste yang baru dilantik,
menyampaikan ucapannya selepas mengangkat sumpah semasa upacara angkat sumpah di Dili/FOTO REUTERS)
Selain itu, Ramos-Horta berkata, jalinan dengan Indonesia, Australia dan negara serantau turut berada dalam senarai agenda utama pentadbirannya.
Seterusnya, beliau akan terus memupuk hubungan istimewa dengan Amerika Syarikat (AS), di samping menyokong untuk Timor-Leste menyertai blok ASEAN.
Katanya, beliau juga akan menekankan isu keselamatan makanan, selain mengusulkan supaya dana diwujudkan bagi melindungi petani daripada kesan turun naik harga global.
Walaupun bertanding sebagai calon bebas, Ramos-Horta disokong oleh parti CNRT yang diterajui oleh bekas Presiden dan Perdana Menteri, Xanana Gusmao. - REUTERS