RIO DE JANEIRO, 30 Oktober – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Brazil menamatkan “kitaran keganasan melampau” dalam operasi polis susulan serbuan di Rio de Janeiro yang mengorbankan sekurang-kurangnya 132 orang, menjadikannya operasi paling berdarah dalam sejarah negara itu.
Jurucakap Hak Asasi Manusia PBB, Marta Hurtado berkata operasi penguatkuasaan mesti mematuhi piawaian antarabangsa berkaitan penggunaan kekerasan serta disiasat secara bebas dan telus.
“Brazil perlu menangani isu perkauman sistemik terhadap masyarakat keturunan Afrika bagi menamatkan diskriminasi dan ketidakadilan,” katanya.
Hurtado turut menegaskan pelanggaran undang-undang tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman, dan proses akauntabiliti mesti dijalankan bagi mengelakkan keganasan berulang.
Menurut polis, serbuan terhadap kumpulan pengedaran dadah itu telah dirancang selama lebih dua bulan bagi memaksa suspek ke kawasan berbukit tempat pasukan khas menunggu untuk menyerang hendap. -REUTERS