SEOUL, 30 Oktober – Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) mencapai kemajuan ketara dalam usaha memuktamadkan perincian perjanjian perdagangan dua hala yang sebelum ini berdepan ketegangan, hasil sidang kemuncak antara Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, pada Rabu.
Ketua Dasar Presiden Korea Selatan, Kim Yong-beom memaklumkan perkembangan itu berlaku secara mendadak selepas rundingan sebelum ini menunjukkan tanda-tanda buntu.
“Prospek perjanjian tidak kelihatan cerah walaupun sehingga malam tadi, namun kemajuan yang dramatik dicapai pada hari ini,” katanya kepada pemberita tanpa menjelaskan butiran lanjut mengenai hasil perbincangan tersebut.
Dalam sidang berkenaan, Trump turut memberi jaminan untuk membantu Seoul “menyelesaikan” isu berhubung Korea Utara yang masih memiliki senjata nuklear.
Kedua-dua negara Korea masih secara teknikal berada dalam keadaan perang susulan konflik 1950–1953 yang berakhir dengan gencatan senjata, bukan perjanjian damai.
Perjanjian perdagangan antara kedua-dua sekutu itu pertama kali diumumkan pada akhir Julai lalu.
Melalui perjanjian tersebut, Seoul bersetuju melabur sebanyak AS$350 bilion ke Amerika Syarikat bagi mengelakkan tarif import yang tinggi, sebagai timbal balas kepada kadar tarif lebih rendah.
Namun, rundingan mengenai struktur pelaburan itu sebelum ini menemui jalan buntu, dan kedua-dua pihak pada awalnya tidak meletakkan harapan tinggi terhadap sebarang kemajuan sepanjang lawatan rasmi Trump ke Korea Selatan. -REUTERS