fb fb fb fb fb

PBB dedah 150 terbunuh akibat keganasan di Haiti minggu lalu

Anggota polis mengacukan senapang ke arah penunjuk perasaan semasa protes/Gambar fail AFP

GENEVA, 21 November - Keganasan yang semakin memuncak di Port-au-Prince sejak minggu lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 150 nyawa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, ini sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat keganasan di Haiti tahun ini melebihi 4,500 orang.

"Keganasan terbaru di ibu negara Haiti adalah petanda lebih buruk bakal berlaku," kata Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk.

Beliau menyeru agar keganasan melibatkan kumpulan samseng segera dihentikan untuk mengelakkan negara itu terus terjerumus dengan kekacauan.

Sejak 11 November, keganasan di negara itu meningkat secara mendadak apabila gabungan kumpulan bersenjata berat cuba menguasai sepenuhnya Port-au-Prince, yang kini 80 peratus kawasannya berada di bawah kawalan geng tersebut.

Dalam tempoh seminggu, sekurang-kurangnya 150 orang terbunuh, 92 cedera.

Manakala kira-kira 20,000 terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka.

Penduduk bandar hampir empat juta itu kini hidup seperti tawanan kerana semua jalan utama masuk dan keluar dari ibu kota telah dikuasai kumpulan bersenjata.

Turk mendedahkan 55 peratus kematian disebabkan tembak-menembak antara geng dan polis.

Beliau turut melaporkan peningkatan kes hukuman bunuh terhadap geng yang disyaki.

PBB melaporkan angka korban rasmi akibat keganasan kumpulan bersenjata tahun ini ialah 4,544 orang.

Manakala, 2,060 lagi cedera, namun angka sebenar mungkin lebih tinggi.

Situasi ini turut menyebabkan 700,000 orang menjadi pelarian dalam negara, separuh daripadanya adalah kanak-kanak.

Turk memberi amaran bahawa keganasan secara berkumpulan yang berterusan dan ketidakstabilan semakin memburukkan lagi keadaan yang menjurus krisis kemanusiaan di Haiti.

Ini termasuk kekurangan makanan dan air serta penyebaran penyakit berjangkit, pada masa yang sama sistem kesihatan hampir lumpuh sepenuhnya.

"Keganasan kumpulan samseng tidak boleh dibiarkan mengatasi kuasa institusi negara dan menyeru tindakan segera untuk melindungi rakyat serta memulihkan kedaulatan undang-undang," katanya. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN