fb fb fb fb fb

Ketua junta Mali pecat PM dan kerajaan

Ketua junta, Kolonel Assimi Goïta

BAMAKO, 20 November - Ketua junta Mali, Kolonel Assimi Goita, memecat Perdana Menteri Choguel Kokalla Maiga bersama seluruh anggota kerajaan, beberapa hari selepas Maiga mengkritik pemerintahan tentera secara terbuka.

"Perkhidmatan perdana menteri dan anggota kerajaan ditamatkan," menurut dekri yang dibacakan oleh setiausaha agung presiden menerusi stesen televisyen negara ORTM.

Mali, sebuah negara di Afrika Barat, berdepan cabaran akibat serangan dan ancaman yang dilakukan oleh kumpulan jihad yang menggunakan keganasan dan perpecahan wilayah.

Mali telah diperintah oleh pihak tentera sejak rampasan kuasa pada 2020 dan 2021.

Junta tentera sebelum ini berjanji untuk mengadakan pilihan raya dan menyerahkan kuasa kepada pentadbiran awam menjelang Mac 2024, namun tarikh pilihan raya itu ditangguhkan.

Pada Sabtu, Maiga secara terbuka mengkritik ketidaktentuan dalam proses peralihan kuasa, yang disifatkannya membawa negara ke arah kemunduran.

Pemecatan perdana menteri itu menambah ketidakpastian di tengah-tengah keadaan politik dan keselamatan yang sedang bergolak.

Sejak 2012, Mali berdepan krisis akibat serangan kumpulan jihad, konflik bersenjata, dan kumpulan pemisah di utara. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN