fb fb fb fb fb

Trump namakan bekas peguam negara sebagai Duta NATO

Matthew Whitaker/AFP

WASHINGTON, 21 November- Presiden Terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, yang sekian lama mengkritik Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kerana terlalu bergantung kepada dana Amerika Syarikat, mencalonkan bekas pemangku peguam negara, Matthew Whitaker sebagai Duta AS ke NATO.

Trump berkata Whitaker akan mengukuhkan hubungan dengan rakan kongsi NATO dan berdiri teguh dalam menghadapi ancaman terhadap keamanan serta kestabilan.

"Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan Matt untuk mewakili Amerika Syarikat dengan kekuatan, integriti, dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi," kata Trump dalam satu kenyataan.

Whitaker ialah seorang peguam dan pernah memegang jawatan sebagai pemangku peguam negara untuk beberapa bulan semasa penggal pertama Trump selepas bekas presiden itu memecat peguam negaranya ketika itu, Jeff Sessions susulan siasatan terhadap kemungkinan wujudnya pakatan sulit antara Rusia dan pasukan kempen Trump menjelang pilihan raya 2016.

Pelantikan Whitaker mendapat perhatian ramai memandangkan komen Trump tentang NATO.

Trump telah lama menjadi pengkritik terhadap pakatan pertahanan Barat itu, mendakwa banyak anggota Eropah bersikap seperti 'penumpang percuma' yang tidak membayar sumbangan mereka, sebaliknya bergantung kepada pembayar cukai AS.

Semasa kempennya baru-baru ini, Trump berkata beliau akan "menggalakkan" Rusia" melakukan apa sahaja yang mereka mahu" terhadap negara-negara NATO yang tidak membelanjakan dana mencukupi untuk pertahanan. -AFP

SITI AISHAH MD ISA