fb fb fb fb fb

PBB bimbang undang-undang antiberita palsu Turkiye

(Foto hiasan/AFP)

GENEVA, 15 Oktober- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan selepas parlimen Turkiye meluluskan undang-undang antiberita palsu yang disifatkan menyekat kebebasan bersuara.

Menurut undang-undang itu, wartawan dan pengguna media sosial boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun kerana menyebarkan berita palsu.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menerusi satu kenyataan menggesa Ankara supaya menghormati sepenuhnya kebebasan bersuara.

Jurucakapnya, Marta Hurtado berkata bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, kebebasan bersuara tidak terhad kepada maklumat 'benar'. Tetapi terpakai kepada maklumat dan semua jenis idea, dalam talian dan luar talian.


(PBB menerusi satu kenyataan menggesa Ankara supaya
menghormati sepenuhnya kebebasan bersuara/AFP)

"Pindaan ini meninggalkan ruang yang besar untuk tafsiran dan penyalahgunaan yang sewenang-wenangnya, subjektif", katanya.

Hurtado berkata undang-undang baharu itu berisiko mengehadkan lagi hak orang ramai untuk mencari, menerima dan menyampaikan maklumat seperti yang dijamin oleh Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik, yang telah ditandatangani Turkiye.

"Pindaan baru-baru ini juga berisiko membuka ruang untuk penindasan menerusi ucapan yang dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa," kata Hurtado.

“Kami kesal kerana undang-undang ini telah digubal dan diterima pakai tanpa perundingan yang bermakna dengan masyarakat sivil dan wakil media.

"Kebebasan bersuara dan akses kepada maklumat adalah perlu untuk penglibatan rakyat dalam kehidupan serta politik dan ianya penting dalam mana-mana demokrasi. Kami menyeru Turkiye untuk memastikan penghormatan penuh terhadap kebebasan bersuara yang dijamin di bawah undang-undang antarabangsa.

Turkiye berada di kedudukan ke-149 daripada 180 negara dalam indeks kebebasan media tahunan yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders awal tahun ini.-AFP

Media Baharu