fb fb fb fb fb

25 orang maut akibat letupan lombong arang batu, Turkiye

(Operasi menyelamat di kawasan berlakunya letupan
lombong arang batu di Bartin, utara Turkiye/AFP)

ISTANBUL, 15 Oktober- Sekurang-kurangnya 25 orang maut akibat letupan di lombong arang batu di wilayah Bartin, utara Turkiye. Manakala berpuluh-puluh orang yang lain terperangkap beberapa meter bawah tanah.

Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca memaklumkan, jumlah mangsa terperangkap masih belum dapat dipastikan. Beliau berkata 11 orang yang terselamat sedang menerima rawatan di hospital.

"Kami menghadapi situasi yang benar-benar menyedihkan," kata Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu kepada media sebelum ini, selepas terbang segera ke bandar perlombongan arang batu kecil Amasra di pantai Laut Hitam Turkiye.

"Secara keseluruhannya, 110 saudara kita bekerja (bawah tanah). Sebahagian daripada mereka keluar sendiri dan sebahagian daripada mereka telah diselamatkan", katanya.


(Seorang pelombong dibawa dengan pengusung oleh penyelamat
selepas letupan di lombong arang batu di Bartin, utara Turkey/AFP)

Soyli turut mengesahkan laporan awal bahawa hampir 50 pelombong kekal terperangkap di dua kawasan berasingan antara 300 dan 350 meter (985 hingga 1,150 kaki) di bawah tanah.

Siaran televisyen menunjukkan orang ramai yang cemas, ada yang menangis dan berkumpul di sekeliling bangunan putih yang rosak berhampiran pintu masuk kawasan itu untuk mendapatkan berita tentang mereka yang terlibat dalam insiden itu.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata beliau akan membatalkan semua urusannya yang lain dan terbang ke tempat kejadian pada hari Sabtu.

"Harapan kami ialah angka yang terkorban tidak bertambah lagi, pelombong kami akan ditemui hidup," kata Erdogan menerusi tweeter. "Semua usaha kami ditujukan ke arah ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Amasra Recai Cakir berkata ramai daripada mereka yang terselamat mengalami kecederaan yang serius.

Letupan berlaku beberapa ketika sebelum matahari terbenam dan usaha menyelamat bertambah sukar kerana waktu malam yang gelap.

Kesatuan pekerja perlombongan, Maden Turkiye mengaitkan letupan itu berpunca daripada gas metana. Bagaimanapun, pegawai lain berkata adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan yang tepat mengenai punca kemalangan itu.-AFP

Media Baharu