GENEVA, 25 Ogos- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan wartawan dan hospital tidak boleh menjadi sasaran, selepas serangan Israel ke atas hospital di Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang termasuk lima wartawan.
Jurucakap Pejabat Hak Asasi PBB, Ravina Shamdasani dalam satu kenyataan menyifatkan pembunuhan terhadap wartawan mengejutkan dunia dan menuntut masyarakat untuk bertindak.
"Pembunuhan wartawan di Gaza mengejutkan dunia, bukan untuk berdiam diri tetapi bertindak, menuntut akauntabiliti dan keadilan.
"Dalam situasi perang dan kebuluran, wartawan antarabangsa terus dinafikan hak oleh pihak berkuasa Israel," tegasnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 247 wartawan Palestin telah terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
"Wartawan ini sebagai mata dan telinga masyarakat, mereka mesti dilindungi.
"Pembunuhan mereka dan orang awam yang tidak terkira banyaknya, mesti disiasat segera secara bebas dan adil," katanya.
Sementara itu, Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mengecam kegagalan masyarakat global berhubung konflik berterusan di Gaza.
Ketua Pesuruhjayanya, Philippe Lazzarin menyifatkan serangan berdarah terhadap wartawan sebagai tindakan keji Israel untuk menutup suara terakhir yang masih tinggal melaporkan kanak-kanak mati akibat kebuluran.
"Sikap acuh tak acuh dan kegagalan dunia untuk bertindak adalah mengejutkan," katanya dalam hantaran di platform X.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengutuk serangan berkenaan.
Ketuanya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, empat pekerja kesihatan juga antara yang maut.
"Lima puluh yang lain cedera, antaranya pesakit kritikal yang sedang menerima rawatan.
"Sementara orang di Gaza sedang kelaparan, akses mereka yang sudah terhad kepada penjagaan kesihatan semakin dilumpuhkan oleh serangan berulang," katanya dalam hantaran X.
Beliau dalam masa sama mendesak supaya serangan terhadap penjagaan kesihatan dihentikan serta-merta. -AFP