GAZA, 26 Ogos- Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan jumlah korban di Gaza kini meningkat kepada 62,744 orang manakala 158,259 lagi cedera.
Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, serangan berterusan Israel meragut 58 nyawa dan mencederakan 308 yang lain, menurut kenyataan kementerian itu pada Isnin.
Sejak Israel menyambung semula operasi ketenteraan pada 18 Mac lalu selepas gencatan senjata singkat, sebanyak 10,900 orang terbunuh manakala 46,218 lagi cedera.
Awal pagi Isnin, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan siri pengeboman besar-besaran di seluruh Gaza.
Serangan udara di barat laut Bandar Gaza memusnahkan sebuah bangunan kediaman, mengorbankan dua orang dan mencederakan beberapa yang lain, menurut petugas perubatan di Hospital Al-Shifa.
Di Khan Younis, sebuah khemah yang menempatkan penduduk Palestin berpindah turut menjadi sasaran, menyebabkan seorang terbunuh dan tujuh cedera.
Di Deir al-Balah, serangan turut mengorbankan tiga nyawa petugas penghantar bantuan.
Kemudahan perubatan juga menjadi sasaran rejim Zionis termasuk Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis yang mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang, antaranya tiga wartawan.
Pihak berkuasa kesihatan berkata lebih 200 wartawan telah terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak Oktober tahun lalu.
Rekod hospital turut melaporkan 11 kematian akibat kebuluran dan malnutrisi dalam tempoh 24 jam lalu, termasuk dua kanak-kanak.
Secara keseluruhan, jumlah korban akibat kebuluran kini mencecah 300 orang, dengan 117 daripadanya kanak-kanak.
Agensi Bantuan dan Kerja Raya Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran kadar malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun di Gaza telah meningkat dua kali ganda antara Mac hingga Jun lalu berikutan sekatan berterusan Israel. - REUTERS