fb fb fb fb fb

Hizbullah sedia bincang strategi pertahanan, jika Israel patuh gencatan senjata

Timbalan Setiausaha Agung Hizbullah, Naim Qassem/Reuters

BEIRUT, 26 Ogos- Israel perlu mematuhi perjanjian gencatan senjata 27 November lalu sebelum sebarang rundingan mengenai strategi pertahanan kebangsaan dapat dijalankan di Lubnan.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Setiausaha Agung Hizbullah, Naim Qassem terhadap kerajaan Lubnan sekali gus mengulangi pendirian kumpulan itu untuk tidak melucutkan senjata.

"Keputusan kerajaan ini (merujuk kepada kelulusan jemaah menteri terhadap objektif rancangan AS untuk melucutkan senjata Hezbollah) dibuat atas desakan Amerika dan Israel.

Jika kerajaan ini terus kekal dalam bentuk sekarang, ia tidak boleh dipercayai untuk mempertahankan kedaulatan Lubnan melainkan ia menarik balik keputusannya, kerana menarik balik adalah satu kebajikan," kata Naim Qassem dalam satu video, sumber Al Manar TV.

Kenyataan itu dibuat selepas pejabat Perdana Menteri Israel memaklumkan pada Isnin bahawa pihaknya sedia mengurangkan kehadiran ketenteraan di selatan Lubnan, jika sekiranya Angkatan Tentera Lubnan mengambil langkah melucutkan senjata Hizbullah.

Pengumuman itu muncul sehari selepas pertemuan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dengan utusan Amerika Syarikat, Tom Barrack.

Awal bulan ini, kabinet Lubnan mengarahkan tentera menyediakan pelan bagi menguatkuasakan kawalan negara terhadap senjata menjelang Disember, satu langkah yang dilihat mencabar pengaruh Hizbullah yang sebelum ini menolak gesaan untuk melucutkan senjata.

Desakan agar Hizbullah melucutkan senjata semakin memuncak selepas perang dengan Israel tahun lalu, yang meragut nyawa 5,000 pejuangnya termasuk sebahagian besar kepimpinan tertinggi, selain menyebabkan kemusnahan besar di selatan Lubnan.

Bagaimanapun, kumpulan itu bertegas tidak akan berbincang selagi Israel masih meneruskan serangan udara dan mengekalkan tentera di selatan Lubnan.

Tentera Israel sehingga kini masih melancarkan serangan udara berkala ke atas Lubnan, dengan mendakwa ia menyasarkan pejuang Hizbullah serta kemudahan penyimpanan senjata milik kumpulan berkenaan. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM