NEW YORK, 26 Ogos- Bekas ketua kartel dadah Mexico, Ismael “El Mayo” Zambada, 75 tahun mengaku bersalah di sebuah mahkamah persekutuan Brooklyn pada Isnin atas tuduhan mengarahkan pembunuhan dan menyeludup berjuta-juta kilogram kokain sepanjang tempoh kepimpinannya dalam kartel ganas Sinaloa.
Zambada kini berdepan hukuman penjara seumur hidup mandatori selepas mengaku bersalah atas pertuduhan konspirasi jenayah terancang dan mengendalikan operasi jenayah dadah secara berterusan.
Pertuduhan itu berkait dengan peranannya selama berdekad memimpin kartel Sinaloa bersama Joaquin “El Chapo” Guzman, yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di penjara keselamatan maksimum di Colorado.
Pengakuan itu dibuat selepas Jabatan Kehakiman AS bulan ini mengumumkan tidak akan menuntut hukuman mati terhadap Zambada atau seorang lagi tokoh kartel berprofil tinggi, Rafael Caro Quintero.
Pada sesi perbicaraan, Zambada menceritakan perjalanan hidup jenayahnya sejak mula menanam pokok ganja pada usia 19 tahun pada 1969, sehinggalah mengetuai kartel yang menyeludup lebih 1.5 juta kilogram kokain dan mengaut ratusan juta dolar setahun.
Beliau turut mengaku mengarahkan pembunuhan saingan serta merasuah ahli politik dan polis Mexico bagi melindungi operasi kartel.
Zambada ditahan pada Julai 2024 bersama Joaquin Guzman Lopez, anak lelaki El Chapo, selepas pesawat yang dinaiki mereka mendarat di sebuah landasan kecil di New Mexico.
Sementara itu, Mexico bulan ini menghantar lebih puluhan suspek ahli kartel ke AS susulan tekanan daripada Presiden Donald Trump supaya Mexico mempergiat pembanterasan sindiket dadah.
Mexico menerima jaminan bahawa hukuman mati tidak akan dituntut terhadap mereka.
Dalam satu kenyataan, peguam bela Zambada, Frank Perez menegaskan anak guamnya tidak bekerjasama dengan pihak berkuasa AS.
Hakim Brian Cogan menetapkan tarikh jatuh hukum terhadap Zambada pada 13 Januari 2026. - REUTERS