fb fb fb fb fb

Pasukan perubatan Maradona dibicara atas tuduhan kecuaian

Foto arkib: Diego Maradona pada perlawanan persahabatan "United for Peace" di Stadium Olimpik, Rom pada Disember 2014/Reuters

SAN ISIDRO, 12 Mac- Tujuh anggota pasukan perubatan Diego Maradona mula dibicarakan di mahkamah di sini pada Selasa atas tuduhan pembunuhan berhubung kematian legenda bola sepak Argentina itu, lima tahun lalu.

Maradona meninggal dunia pada 25 November 2020 pada usia 60 tahun ketika dalam pemulihan di rumah selepas menjalani pembedahan otak bagi merawat pembekuan darah.

Mereka yang dibicarakan termasuk seorang pakar bedah saraf, pakar psikiatri, psikologi, penyelaras perubatan, penyelaras kejururawatan, seorang doktor dan seorang jururawat malam. Kesemua mereka didakwa cuai dalam memberikan rawatan sewajarnya kepada Maradona pada hari-hari terakhir mendiang.

Pendakwa raya dalam hujah pembukaan menyatakan pihaknya akan mengemukakan bukti kukuh bagi menunjukkan tiada seorang pun dalam pasukan perubatan Maradona yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan betul.

Bedah siasat mendapati Maradona meninggal dunia akibat kegagalan jantung dan edema pulmonari akut. Maradona ditemui meninggal dunia dua minggu selepas pembedahan di sebuah rumah sewa di Buenos Aires.

Pendakwa raya menyatakan pasukan perubatan Maradona telah mendesak beliau menerima rawatan di rumah yang disifatkan sebagai satu tindakan 'cuai' dan 'berbahaya'.

Rumah itu juga tidak dilengkapi alat defibrilator yang penting bagi menangani kecemasan jantung.

Satu panel pakar perubatan yang dilantik pada 2021 menyimpulkan Maradona berkemungkinan besar boleh diselamatkan sekiranya menerima rawatan mencukupi di fasiliti perubatan yang sesuai.

Ahli keluarga Maradona mendakwa mesej audio dan teks antara pasukan perubatannya membuktikan kesihatan beliau berada dalam keadaan bahaya.

Kesemua tertuduh bagaimanapun menegaskan mereka tidak bersalah.

Perbicaraan bersambung pada Khamis.

Jika disabitkan kesalahan atas tuduhan 'pembunuhan dengan niat kemungkinan', tertuduh boleh berdepan hukuman penjara antara lapan hingga 25 tahun.

Sekitar 120 saksi dijangka memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung di San Isidro sehingga Julai.

Sepanjang hayat Maradona, beliau berdepan masalah ketagihan kokain dan alkohol. -AFP

SITI AISHAH MD ISA