fb fb fb fb fb

Pasukan pengaman PBB Lubnan berkata tembakan Israel mengenai rondaannya

Foto AFP

BEIRUT, 26 November - Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan berkata tembakan Israel mengenai salah satu rondaannya di selatan negara itu pada Sabtu, walaupun gencatan senjata Hamas-Israel sebahagian besarnya telah menenangkan sempadan Lubnan-Israel.

“Kira-kira pukul 12.00 tengah hari, rondaan Unifil telah terkena tembakan IDF (tentera Israel)” di sekitar Aitarun, kata Pasukan Interim PBB di Lubnan dalam satu kenyataan.

"Tiada pasukan pengaman yang cedera, namun beberapa kenderaan rosak," katanya, sambil menambah bahawa "kejadian ini berlaku semasa tempoh yang agak tenang" di sepanjang sempadan antara Israel dan Lubnan.

Sejak perang Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober, sempadan antara Lubnan dan Israel telah menyaksikan beberapa siri tembakan yang semakin sengit, terutamanya antara Israel dan gerakan kumpulan Islam Syiah Hizbullah.

Gencatan senjata empat hari antara Israel dan Hamas bermula pada Jumaat dan sumber rapat dengan Hizbullah memberitahu AFP bahawa kumpulan yang disokong Iran itu juga akan mematuhi gencatan senjata jika Israel melakukannya.

Unifil berkata "serangan ke atas pasukan pengaman ini, yang didedikasikan untuk mengurangkan ketegangan dan memulihkan kestabilan di selatan Lubnan, amat merisaukan," sambil menambah: "Kami mengecam perbuatan ini."

"Kami amat mengingatkan pihak-pihak mengenai kewajipan mereka untuk melindungi pasukan pengaman dan mengelak daripada meletakkan lelaki dan wanita yang bekerja untuk memulihkan kestabilan dalam risiko," kata kenyataan Unifil pada Sabtu.

Tembakan merentasi sempadan telah mengorbankan 109 orang di Lubnan, termasuk 77 kumpulan Hizbullah dan 14 orang awam, tiga daripadanya wartawan, menurut kiraan AFP.

Enam tentera Israel dan tiga orang awam telah terbunuh di pihak Israel, menurut pihak berkuasa.

Sejak gencatan senjata Israel-Hamas berkuat kuasa, ketenangan sebahagian besarnya telah kembali ke sempadan selatan Lubnan.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN