fb fb fb fb fb

Dua pelancong Kanada, mangsa culik pengganas di Colombia diselamatkan tentera

FOTO HIASAN

CALI, 26 November- Pasukan keselamatan Colombia pada Sabtu berjaya menyelamatkan dua pelancong Kanada yang diculik dua hari sebelum itu di bandar Cali, kata tentera dalam satu kenyataan.

Penculik mengelak daripada ditangkap semasa operasi tentera untuk menyelamatkan tebusan.

Kedua-dua pelancong Kanada itu juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pelancong itu, yang belum diketahui identitinya, telah diculik dari hotel kediaman mereka di Cali, bandar ketiga terbesar di negara itu dan terletak di Valle del Cauca, di barat daya.

Antara Januari dan September tahun ini, sebanyak 245 penculikan berlaku di negara Amerika Selatan itu, kata polis, sekali gus menyaksikan peningkatan lebih 70 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022, apabila terdapat 142 kes.

Bulan lalu, bapa kepada pemain Liverpool, Luis Diaz telah diculik oleh gerila Tentera Pembebasan Kebangsaan (ELN) di kampung halamannya di sempadan Colombia-Venezuelan.

Luis Manuel Diaz, bapa kepada pemain pasukan kebangsaan Colombia itu, telah ditahan selama 12 hari, dalam kes yang memberi tumpuan kepada rundingan damai antara kumpulan bersenjata Marxis dan kerajaan.

Suruhanjaya Kebenaran Colombia menganggarkan lebih 50,000 orang telah menjadi mangsa penculikan di negara itu dalam beberapa dekad kebelakangan ini.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE