RIYADH, 14 Mei- Syarikat minyak, Saudi Aramco, milik kerajaan Arab Saudi, mengatasi firma teknologi Amerika syarikat Apple untuk menjadi syarikat paling bernilai di dunia.
Ini julung kalinya nilai pasaran Saudi Aramco mengatasi Apple sejak 2020.
Menurut angka rasmi, sejak awal tahun ini, Apple menyaksikan penurunan harga sahamnya kira-kira 20 peratus, manakala saham Aramco melonjak hampir 28 peratus.
Ketika Apple bergelut dengan rantaian bekalan yang meruncing, krisis cip dan inflasi pengguna yang meningkat, Saudi Aramco mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak mentah.
(FOTO AFP)
Harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa melonjak kepada AS$139 setong pada Mac, paras tertinggi sejak 2008.
Permintaan minyak global yang meningkat dengan pantas melebihi bekalan minyak mentah dalam tempoh selepas pandemik memainkan peranan penting dalam kenaikan harga minyak.
Perang Rusia-Ukraine yang mengancam bekalan minyak mentah yang selamat ke Eropah juga telah mendorong harga yang lebih tinggi. -AFP