fb fb fb fb fb

Tiada lagi penjualan daging anjing, kucing di Sulawesi

 (Semburan api yang digunakan pada kucing dan anjing selepas dipukul tetapi masih bernyawa
bagi membuang bulu haiwan/AFP)

JAKARTA, 22 Julai- Premis yang menjual daging anjing dan kucing di Pasar Ekstrim Tomohon di pulau Sulawesi, Indonesia dihentikan operasinya bermula Jumaat lalu.

Kumpulan hak asasi haiwan, Humane Society International (HSI) dalam kenyataan memaklumkan, pasar pertama seumpama itu di negara tersebut akhirnya 'berundur' dan menghentikan perdagangan daging anjing dan kucing.

HSI menyebut larangan itu sebagai perjanjian bersejarah yang menyelamatkan ribuan haiwan daripada dipukul dan dibakar hingga mati untuk santapan manusia.

Sebelum ini, sebanyak 130,000 anak anjing disembelih peniaga setiap tahun.

"Enam peniaga daging anjing dan kucing di pasar tersebut telah menandatangan perjanjian tersebut.

"Begitu juga, Datuk Bandar Tomohon, Caroll Senduk menandatangan undang-undang larangan perdagangan masa hadapan di pasar itu," katanya.

Elvianus Pongoh, salah seorang penjual di Tomohon selama 25 tahun berkata, sekarang adalah masa sesuai untuk menamatkan perdagangan anjing dan kucing.

"Saya mungkin telah menyembelih beribu-ribu anjing. Sekali-sekala saya akan melihat ketakutan di mata mereka ketika saya datang kepada mereka, dan ia membuatkan saya berasa sedih.

"Saya tahu larangan ini adalah yang terbaik untuk haiwan dan juga yang terbaik untuk melindungi orang ramai," katanya dalam kenyataan HSI.

Selama bertahun-tahun HSI dan kumpulan hak asasi manusia Indonesia berjuang untuk menghentikan penjualan daging anjing dan kucing di pasar terbabit.

Selain sebagai gerakan perikemanusiaan, mereka cuba menghentikan perdagangan itu untuk mencegah penyebaran virus rabies yang boleh membawa maut.

Pasar Ekstrim Tomohon yang terkena menjual daging eksotik seperti anjing, kucing, kelawar, tikus, ular dan monyet menerima kritikan meluas kerana kaedah yang digunakan untuk mematikan haiwan sangat kejam seperti memukul, mengantung dan menggunakan semburan api untuk menangalkan bulu ketika haiwan itu masih hidup.

Kritikan memuncak semasa penyebaran COVID-19 ketika kluster pertama wabak koronavirus pada 2020 yang dikaitkan dengan pasar basah eksotik di Wuhan, China telah mencetuskan kebimbangan virus disebarkan melalui haiwan terutama kelawar kepada manusia. -AFP

(Seorang peniaga di Pasar Ekstrim Tomohon di pulau Sulawesi, Indonesia menyembur api
pada seekor anjing sebelum dagingnya dijual
/AFP)

Media Baharu