TORONTO, 2 Oktober – Seekor beruang grizzly menyerang dan membunuh dua orang pelawat dan anjing mereka di Taman Negara Banff, Alberta, Kanada.
Beruang itu kemudiannya dibunuh kerana menunjukkan tingkah laku yang agresif.
Parks Canada menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada lewat Sabtu berkata mereka telah menerima amaran pada petang Jumaat daripada peranti GPS yang menunjukkan serangan beruang di Lembah Sungai Rusa Merah di barat Ladang Ya Ha Tinda di Taman Negara Banff.
Mangsa adalah pasangan Kanada dan anjing mereka, menurut Kim Titchener, pengasas Bear Safety and More dan rakan kepada keluarga itu
Titchener, yang menyediakan latihan mengenai keselamatan beruang dan penilaian beruang berkata kes melibatkan serangan beruang semakin meningkat apabila lebih ramai orang melawat taman negara, namun serangan maut amat jarang berlaku.
"Itulah sebab mengapa kita melihat lebih banyak serangan kerana lebih ramai orang melakukan aktiviti di dalam hutan dan malangnya tidak dididik tentang perkara ini," katanya melalui telefon, sambil menambah bahawa hanya 14% daripada serangan beruang grizzly di seluruh dunia mengakibatkan kematian.
Kehadiran beruang meningkat semasa musim gugur kerana mereka menjadi lebih aktif mencari makanan sebelum berhibernasi pada musim sejuk.
Taman Negara Banff yang menarik lebih daripada empat juta pelancong setiap tahun merupakan habitat kepada beruang grizzly dan beruang hitam.
Terdapat kira-kira 60 beruang grizzly di Taman Negara Banff dan mereka dianggap sebagai populasi terancam di Alberta, kata Titchener.
Parks Canada berkata pasukan penyelamat terpaksa melakukan perjalanan darat ke tapak itu kerana keadaan cuaca pada masa itu menyebabkan helikopter tidak dapat digunakan.
Pasukan tindak balas kecemasan tiba di tempat kejadian awal pagi Sabtu dan mendapati dua orang maut, kata agensi itu.
Penutupan kawasan di sekitar lembah Red Deer telah dilaksanakan dan akan terus berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak, kata Parks Canada.
Park Canada juga tidak mengeluarkan sebarang butiran mengenai identiti mangsa.-REUTERS