fb fb fb fb fb

Parlimen India lulus RUU larang judi dalam talian

Foto AFP

NEW DELHI, 22 Ogos - Parlimen India meluluskan undang-undang baharu yang mengharamkan perjudian dalam talian.

Ia susulan data kerajaan menunjukkan kira-kira 450 juta rakyat negara itu mengalami kerugian keseluruhan mencecah AS$2.3 bilion setahun menerusi aplikasi perjudian.

Larangan itu meliputi platform permainan kad, poker dan sukan fantasi, termasuk aplikasi kriket fantasi tempatan yang sangat popular di India.

“Undang-undang ini digubal untuk membendung ketagihan, kemusnahan kewangan dan tekanan sosial yang dicetuskan oleh platform perjudian yang memanipulasi pengguna dengan janji palsu kekayaan segera,” menurut kenyataan rasmi kerajaan.

Rang Undang-Undang (RUU) Promosi dan Peraturan Permainan Dalam Talian diluluskan kedua-dua dewan parlimen pada Khamis.

Ia memperuntukkan perbuatan menawarkan, mempromosi atau membiayai permainan itu sebagai satu kesalahan jenayah.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun.

Hampir satu pertiga daripada populasi India pernah mengalami kerugian akibat perjudian dalam talian.

Sementara itu, Perdana Menteri, Narendra Modi berkata, undang-undang baharu itu akan "menggalakkan e-sukan dan permainan sosial dalam talian. Pada masa sama, ia akan menyelamatkan masyarakat daripada kesan berbahaya judi dalam talian." - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN