MANILA, 22 Ogos - Filipina dan Australia sedang berusaha mencapai perjanjian pertahanan baharu yang akan ditandatangani tahun depan.
Kedua-dua negara mahu meningkatkan kerjasama ketenteraan untuk menangani cabaran keselamatan bersama di Indo-Pasifik.
Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro berkata, langkah itu akan membuka jalan kepada latihan ketenteraan bersama yang lebih kerap, bertujuan meningkatkan keupayaan operasi gabungan dan mengukuhkan pencegahan serantau.
Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles pula memaklumkan, perjanjian baharu tersebut akan menyokong pembangunan infrastruktur pertahanan di Filipina, dengan projek dirancang di lima lokasi.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan butiran berhubung perkara itu.
Hubungan keselamatan antara kedua-dua sekutu dilihat semakin mendalam bagi mendepani aktiviti China yang semakin agresif di Laut China Selatan.
Marles berada di Manila untuk menghadiri mesyuarat peringkat menteri.
Menjelang lawatan Marles, tentera Filipina melaporkan peningkatan kehadiran kapal China di sekitar kawasan Second Thomas Shoal yang dipertikaikan, serentak dengan latihan bersama Canberra dan Manila yang sedang berlangsung. -REUTERS