DHAKA, 22 Ogos - Tanpa akses pendidikan, kanak-kanak Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh dipaksa berkahwin awal dan menjadi buruh paksa.
Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu, (UNICEF) terpaksa menggantung operasi di lebih 4,500 sekolah kendaliannya sejak Jun lepas.
Ia menyebabkan lebih 227,500 kanak-kanak Rohingya tidak dapat menghadiri sesi persekolahan, manakala, 1,200 guru warga Bangladesh kehilangan pekerjaan.
Ramai guru warga Rohingya turut menerima nasib yang sama.
Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC) pula mendedahkan, pada masa ini, tiada kanak-kanak Rohingya bawah umur 12 tahun mempunyai akses kepada pendidikan.
Kesan daripada itu, kes perkahwinan kanak-kanak yang dilaporkan telah meningkat sebanyak 3% tahun ini dan buruh kanak-kanak sebanyak 7%.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian, (UNHCR) memaklumkan, pihaknya memerlukan kira-kira AS$256 juta untuk menyokong keperluan pelarian Rohingya tahun ini.
Meski jumlah itu adalah yang terendah dalam tempoh enam tahun, UNHCR hanya menerima komitmen sebanyak 38% daripada jumlah keseluruhan. - REUTERS