fb fb fb fb fb

Hamas desak lintasan Gaza dibuka beri akses masuk kepada bekalan makanan

Foto AFP

GAZA, 22 Ogos - Hamas menyeru agar perang di Gaza ditamatkan segera selepas Pertubuhan Bangsa Bersatu mengisytiharkan kebuluran di beberapa bahagian di Gaza.

Kumpulan pejuang Palestin itu juga mendesak Israel menghentikan kepungan ke atas wilayah tersebut.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam talian, Hamas menggesa tindakan segera diambil oleh PBB dan Majlis Keselamatan untuk menghentikan perang dan menarik balik kepungan.

Serta menuntut agar lintasan dibuka tanpa sekatan untuk membenarkan kemasukan segera dan berterusan makanan, ubat, air dan bahan api.

Hamas menyifatkan pengisytiharan oleh PBB sekali gus mengesahkan "malapetaka kemanusiaan di Gaza" dan bukti rejim zionis menggunakan kelaparan sebagai "strategi perang" yang disengajakan.

Masyarakat dan semua institusi antarabangsa seharusnya memikul tanggungjawab undang-undang dan moral untuk mendesak Israel menghentikan jenayah kemanusiaan dan menyelamatkan lebih dua juta rakyat Palestin yang berdepan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan kemusnahan sistematik semua aspek kehidupan. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN