fb fb fb fb fb

Papan iklan tumbang, 12 terbunuh di India

Foto AFP

MUMBAI, 14 Mei- 12 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 60 cedera selepas sebuah papan iklan tumbang akibat ribut kuat di ibu negara kewangan India, Mumbai, pada Isnin.

Menurut catatan di platform media sosial X oleh pasukan polis Mumbai, papan iklan yang jatuh itu berukuran 70x50 meter.

Pasukan penyelamat berlumba-lumba mencari puluhan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan, yang berlaku di sebuah stesen minyak di timur bandar itu.

Usaha mengalihkan serpihan dan batu yang hancur, digerakkan menggunakan jengkaut.

Inspektor Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF), Gaurav Chauhan berkata lapan mayat telah dikeluarkan dari lokasi kejadian manakala empat lagi mayat masih tertimbus di dalam runtuhan.

"Kami telah mengesan mereka tetapi kami tidak boleh mengeluarkannya kerana pam petrol ini dan keadaan boleh berbahaya," katanya.

Terdahulu, kenyataan pihak berkuasa perbandaran berkata 60 orang telah diselamatkan dan dimasukkan ke hospital.

Mumbai dilanda angin kencang disertai hujan dan ribut debu pada Khamis yang menumbangkan pokok dan menyebabkan bekalan elektrik terputus seketika di beberapa bahagian bandar, selain gangguan kepada rangkaian kereta api di bandar itu.

Laporan media India berkata penerbangan digantung sementara waktu dengan sekurang-kurangnya 15 pesawat dialihkan.

Devendra Fadnavis, timbalan ketua menteri negeri Maharashtra, berkata mangsa yang cedera sedang dirawat di Hospital Rajawadi.

"Siasatan peringkat tinggi telah diarahkan ke atas insiden itu," kata Fadnavis dalam catatan di X.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM