fb fb fb fb fb

AS sekat pembelian tanah milik firma kripto China berhampiran pangkalan nuklear

Foto AFP

WASHINGTON, 14 Mei- Amerika Syarikat (AS) telah menghalang sebuah firma kripto milik China daripada menggunakan tanah berhampiran pangkalan peluru berpandu nuklear AS yang strategik.

Presiden AS, Joe Biden mengumumkannya pada Isnin dan menegaskan keputusan dilaksana atas faktor kebimbangan keselamatan negara.

White House dalam satu kenyataan berkata perintah itu memerlukan MineOne Partners Limited melupuskan tanah yang dibelinya pada 2022, terletak kurang daripada satu batu dari Pangkalan Tentera Udara (AFB) Francis E. Warren Wyoming, rumah kepada peluru berpandu balistik antara benua Minuteman III.

"Keputusan ini dibuat susulan penyiasatan daripada Jawatankuasa Agensi Pelaburan Asing di Amerika Syarikat (CFIUS), yang "mengenal pasti risiko keselamatan negara" dengan pembelian tanah yang begitu hampir dengan pangkalan nuklear itu," jelas White House.

CFIUS juga menimbulkan kebimbangan mengenai pemasangan peralatan perlombongan kripto, khusus di tanah yang berpotensi memudahkan aktiviti pengawasan dan pengintipan.

"Perintah pelupusan hari ini menggariskan komitmen teguh Presiden Biden untuk melindungi keselamatan negara Amerika Syarikat," kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen dalam satu kenyataan.

Pengumuman itu menandakan langkah terbaharu pentadbiran Biden untuk menjauhkan syarikat milik China daripada teknologi yang dianggap penting kepada keselamatan negara.

Kerajaan AS berkata ia mahu melindungi pembuatan AS dari import China yang lebih murah, sambil menekankan keinginannya untuk mengekalkan hubungan perdagangan yang positif di kawasan lain.

"China berazam untuk menguasai masa depan pasaran kereta termasuk dengan menggunakan amalan tidak adil."

"Dasar China boleh membanjiri pasaran kita dengan kenderaannya, menimbulkan risiko kepada keselamatan negara kita," kata Biden dalam satu kenyataan sedemikian awal tahun ini.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM