PANAMA CITY, 19 Februari- Kerajaan Panama menafikan dakwaan mengatakan migran yang dihantar pulang oleh Amerika Syarikat dan dilihat memegang kertas meminta bantuan di tingkap hotel telah ditahan secara paksa.
Menteri Keselamatan Awam, Frank Abrego menegaskan bahawa para migran tersebut tidak dinafikan kebebasan mereka, sebaliknya berada dalam tahanan untuk perlindungan sementara menunggu proses penghantaran pulang.
"Mereka berada dalam jagaan kami demi keselamatan mereka sendiri," katanya.
Pihak polis dilihat mengawal Hotel Decapolis di Panama City, di mana beberapa wanita yang dipercayai sebahagian daripada kumpulan migran tersebut memegang kertas bertulis tangan kepada wartawan di bawah dengan mesej "Tolong bantu kami" dan "Kami tidak selamat di negara kami."
Menurut Abrego, kumpulan tersebut terdiri daripada migran dari China, India, Iran, dan Vietnam.
Mereka yang enggan pulang secara sukarela akan dipindahkan ke sebuah pusat perlindungan di hutan Darien, berhampiran sempadan dengan Colombia, sementara Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dan agensi pelarian PBB menguruskan pemindahan mereka ke negara lain, katanya.
"Kami menyediakan segala keperluan perubatan dan kemudahan asas dan akan terus melakukannya sehingga yang terakhir meninggalkan negara ini, seperti yang dipersetujui dengan kerajaan Amerika Syarikat," tambahnya.
Panama, katanya, telah mematuhi segala peraturan antarabangsa.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan The New York Times yang mendakwa migran terbabit telah dirampas pasport dan kebanyakan telefon bimbit mereka.
Laporan itu juga mendakwa mereka dikunci dalam hotel, dihalang daripada bertemu peguam dan diberitahu akan dihantar ke sebuah kem sementara berhampiran hutan Panama."
Malah, sekurang-kurangnya seorang individu di hotel itu dipercayai telah cuba membunuh diri, menurut laporan tersebut yang memetik beberapa individu di dalam hotel yang mengaku sebagai pencari suaka dan mendakwa mereka ditahan secara paksa.
Bulan lalu, pada hari pertama pentadbirannya, Presiden Donald Trump mengisytiharkan darurat kebangsaan di sempadan selatan AS dan berikrar untuk menghantar pulang "berjuta-juta" migran.
Semasa lawatan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio ke Amerika Latin baru-baru ini, Panama dan Guatemala telah bersetuju untuk menjadi negara transit bagi migran dari negara lain yang dihantar pulang oleh pentadbiran Trump.
Pada Isnin, Costa Rica turut bersetuju untuk bekerjasama dalam proses repatriasi migran berkenaan.-AFP