MALE, 19 Februari- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa Maldives memerlukan penstrukturan fiskal yang mendesak dan lebih kukuh bagi menyelamatkan ekonominya yang bermasalah, meskipun industri pelancongannya terus berkembang pesat.
Negara kepulauan di Lautan Hindi itu menjangkakan pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus pada 2025. Namun, IMF menegaskan bahawa unjuran positif ini tidak menggambarkan cabaran yang bakal dihadapi.
"Terdapat ketidaktentuan besar dalam unjuran ini, dan risiko cenderung ke arah kemerosotan," kata IMF dalam satu kenyataan pada Selasa.
"Langkah penstrukturan fiskal yang lebih segera dan kukuh diperlukan. Rasionalisasi perbelanjaan secara menyeluruh amat penting bagi mengawal perbelanjaan berlebihan."
Maldives sebelum ini menolak pinjaman penyelamatan daripada IMF pada akhir tahun lalu dan sebaliknya mengambil langkah pemotongan perbelanjaan besar-besaran.
Presiden Mohamed Muizzu turut mengurangkan gajinya sebanyak 50 peratus serta memperkenalkan pemotongan gaji mandatori sebanyak 10 peratus bagi kebanyakan kakitangan sektor awam.
Pada September lalu, kerajaan Maldives menyatakan bahawa masalah kewangannya hanya bersifat sementara dan tidak bercadang mendapatkan bantuan daripada IMF, meskipun terdapat amaran mengenai kemungkinan berlakunya kegagalan pembayaran hutang negara.
IMF memberi amaran bahawa defisit fiskal dan hutang awam dijangka kekal tinggi dan menegaskan perlunya pelarasan dasar segera.
"Maldives kini berada di saat kritikal dalam usahanya untuk memulihkan kestabilan makroekonomi dan memastikan kemampanan hutang," menurut IMF.
Dikenali sebagai destinasi pelancongan mewah dengan pantai pasir putih dan resort eksklusif, Maldives juga menjadi tumpuan geopolitik utama.
China dan India merupakan dua peminjam terbesar kepada Maldives, yang terdiri daripada 1,192 pulau karang di sepanjang garisan Khatulistiwa. Sejak kemenangan Muizzu dalam pilihan raya 2023, Beijing telah berjanji untuk menyalurkan lebih banyak dana, dengan Muizzu mengucapkan terima kasih kepada China atas "bantuan tanpa syarat" dalam pembangunan negaranya.
Muizzu turut disambut di New Delhi pada Oktober lalu oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang menawarkan sokongan kewangan bagi membantu ekonomi Maldives yang sedang bergelut.
Data rasmi menunjukkan hutang luar negara Maldives mencecah AS$3.37 bilion pada suku pertama 2024, bersamaan kira-kira 45 peratus daripada KDNK negara itu.
China menyumbang kira-kira 20 peratus daripada jumlah hutang luar negara Maldives, manakala India memiliki hampir 18 peratus.-AFP