NEW DELHI, 26 September- Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menjemput pemimpin Bangladesh Muhammad Yunus untuk mengadakan lawatan rasmi ke Islamabad, menandakan hubungan yang semakin akrab antara kedua-dua negara.
Shehbaz berkata beliau mengadakan pertemuan dengan Penasihat Utama kerajaan sementara Bangladesh, satu jawatan yang setara dengan perdana menteri, di luar mesyuarat tahunan Perhimpunan Agung PBB di New York pada Rabu.
"Sambil mengimbas kembali persamaan dan hubungan bersejarah mereka, kedua-dua pihak menegaskan hasrat untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan serta komitmen ke arah keamanan dan pembangunan di Asia Selatan," katanya.
Perdana Menteri Pakistan itu juga berkata perbincangan turut menjurus kepada memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
"Saya juga menyampaikan jemputan mesra kepada pemimpin terkemuka Bangladesh itu untuk mengadakan lawatan rasmi ke Pakistan secepat mungkin, " katanya.
Penasihat Luar Bangladesh, Touhid Hossain turut hadir semasa pertemuan itu.
Shehbaz menyatakan minat Pakistan untuk melabur dalam sektor tekstil dan kulit Bangladesh, menurut media negara Bangladesh.
Kedua-dua pemimpin membincangkan usaha memperbaharui rundingan di peringkat setiausaha luar, lapor Bangladesh Sangbad Sangstha.
Yunus turut menyeru agar Persatuan Kerjasama Serantau Asia Selatan (SAARC) dilaksanakan semula bagi mempromosikan hubungan dalam kalangan lapan anggotanya.-BERNAMA