fb fb fb fb fb

Pakatan Lamichhane–Shah sasar sokongan belia

Pengerusi Parti Rastriya Swatantra (RSP), Rabi Lamichhane (kanan) bersama Datuk Bandar Kathmandu, Balendra Shah (kiri) /nepalpulse.com

KATHMANDU, 28 Disember - Dua tokoh politik paling popular di Nepal bergabung bagi membentuk pakatan baharu menjelang pilihan raya negara itu tahun depan.

Strategi itu dilihat sebagai satu langkah yang dijangka mencabar dominasi parti-parti tradisional yang lama menguasai landskap politik negara itu.

Pengerusi Parti Rastriya Swatantra (RSP), Rabi Lamichhane, 51, dan Datuk Bandar Kathmandu, Balendra Shah, mencapai persetujuan untuk memperjuangkan agenda generasi muda susulan protes antirasuah berdarah pada September lalu yang menggulingkan kerajaan.

Naib pengerusi RSP, Swarnim Wagle menyifatkan pakatan itu sebagai gabungan luar biasa yang membawa “keberanian, pengorbanan dan harapan” ketika negara bersiap menghadapi pilihan raya pada 5 Mac 2026.

Menurut Wagle, penyatuan dua pemimpin generasi baharu itu meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi, selari dengan aspirasi golongan muda Nepal.

Sekurang-kurangnya 77 orang terkorban dalam kebangkitan rakyat yang dipimpin belia pada September lalu.

Protes itu tercetus akibat kemarahan terhadap larangan sementara kerajaan ke atas media sosial, selain kekecewaan berpanjangan terhadap kemerosotan ekonomi dan dakwaan rasuah politik yang berakar umbi dalam negara berkenaan.

Di bawah perjanjian pakatan itu, Lamichhane kekal sebagai pengerusi RSP, manakala Shah yang juga dikenali sebagai “Balen”, dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

Lamichhane berkata, kesepakatan politik seharusnya berpaksikan keperluan negara dan bukannya kehendak individu.

Lamichhane yang baru dibebaskan dengan jaminan berkaitan kes penipuan koperasi dan jenayah terancang, merupakan hos televisyen terkenal yang menubuhkan RSP pada 2022, sekali gus memanfaatkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinan politik lama Nepal.

Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Sementara itu, Shah, 35, merupakan tokoh penting dalam fasa peralihan politik dan terlibat dalam pembentukan kerajaan sementara pimpinan Sushila Karki selepas kejatuhan kerajaan K.P. Sharma Oli.

Pada Sabtu, Karki mengadakan pertemuan dengan Oli, Presiden Parti Kongres Nepal Sher Bahadur Deuba dan penyelaras Parti Komunis Nepal Pushpa Kamal Dahal.

Rundingan itu merupakan pertemuan pertama sejak kebangkitan rakyat.

Karki menegaskan pilihan raya akan datang adalah tanggungjawab bersama semua pihak, sambil memberi jaminan kerajaan komited memastikan proses pilihan raya berlangsung dalam suasana bebas dan tanpa keganasan. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD