CATANIA, 28 Disember- Gunung berapi Etna di timur Sicily, Itali mengeluarkan semburan abu tebal pada Sabtu, sekali gus mencetuskan amaran tertinggi bagi perkhidmatan penerbangan.
Istituto Nazionale di Geofisica e Vulcanologia (INGV) melaporkan aktiviti letupan di kawah puncak Etna semakin kuat dengan pengeluaran abu berterusan, menyebabkan amaran merah Volcano Observatory Notice for Aviation (VONA) dikeluarkan untuk memberi amaran kepada pesawat.
Walaupun amaran dikeluarkan, pihak berkuasa menegaskan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Catania Fontanarossa masih berjalan normal dan gangguan hanya dijangka jika hujan abu bertambah teruk.
Dengan ketinggian melebihi 3,300 meter dari paras laut, Etna terus menjadi tumpuan pemantauan 24 jam sehari.
Letusannya mengingatkan tentang kuasa besar yang tersembunyi di bawah salah satu gunung berapi paling aktif di Eropah. -REUTERS