AGUADILLA, 28 Disember – Amerika Syarikat (AS) memperkukuh kehadiran ketenteraannya di rantau Caribbean susulan ketegangan yang semakin meningkat dengan Venezuela, apabila dron MQ-9 Reaper dilaporkan dikesan di Lapangan Terbang Rafael Hernandez, di sini, pada Sabtu.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada pengaturan ketenteraan berskala besar AS di Caribbean, yang merangkumi penempatan sebuah kapal pengangkut pesawat, pesawat pejuang serta beberapa kapal perang lain di perairan berkenaan.
Selain itu, pesawat Osprey dan beberapa pesawat MC-130J Commando II turut dilaporkan tiba di Aguadilla dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran aset ketenteraan AS di kawasan strategik tersebut.
Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini mendakwa Venezuela membanjiri negara itu dengan dadah. Sehubungan itu, pentadbiran beliau sejak beberapa bulan lalu dilaporkan telah melancarkan serangan udara terhadap bot-bot yang berasal dari Amerika Selatan yang didakwa membawa bahan terlarang berkenaan.
Bagaimanapun, tindakan tersebut mengundang kecaman pelbagai negara yang menyifatkan serangan berkenaan sebagai pembunuhan di luar proses perundangan.
Trump turut berulang kali mengancam untuk melancarkan pengeboman terhadap infrastruktur dadah di darat, selain dilaporkan telah memberi kebenaran kepada aktiviti risikan sulit Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang disasarkan ke arah Caracas. -REUTERS