MOSCOW, 28 Disember – Rusia mendakwa telah menawan sebuah bandar utama di tenggara Ukraine, apabila Kementerian Pertahanannya pada Sabtu memaklumkan bandar Huliaipole di wilayah Zaporizhzhia kini berada di bawah kawalan tenteranya.
Dakwaan itu dibuat menjelang apa yang disifatkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy sebagai satu pertemuan penting dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi merangka pelan menamatkan konflik yang telah berlarutan hampir empat tahun.
Dalam sebuah video yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan Rusia pada Sabtu, individu berpakaian seragam tentera sambil memegang bendera Rusia dilihat mendakwa bahawa Huliaipole telah ditawan oleh pasukan Moscow.
Agensi berita Reuters mengesahkan lokasi video tersebut dengan memadankan susun atur dataran, kubah, bangunan dan pokok dengan imej arkib serta satelit.
Namun, tarikh rakaman video berkenaan tidak dapat disahkan. Walau bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Rusia menegaskan pada 27 Disember bahawa tenteranya telah menawan bandar Huliaipole.
Menurut Kremlin dalam satu kenyataan menerusi aplikasi Telegram, komander Rusia turut memaklumkan Presiden Rusia, Vladimir Putin, semasa lawatan pemeriksaan pasukan negara itu telah menawan bandar Myrnohrad, Rodynske dan Artemivka di wilayah Donetsk, timur Ukraine, selain Huliaipole dan Stepnohirsk di wilayah Zaporizhzhia.
Sementara itu, pihak tentera Ukraine menafikan dakwaan Rusia berhubung Huliaipole dan Myrnohrad, dengan menyifatkannya sebagai tidak benar.
Markas Besar Angkatan Tentera Ukraine dalam satu kenyataan di media sosial memaklumkan keadaan di kedua-dua kawasan tersebut kekal “sukar”, namun operasi pertahanan oleh tentera Ukraine masih diteruskan. -REUTERS