PALM BEACH, 28 Disember – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, di Florida bagi membincangkan pelan damai untuk menamatkan perang di Ukraine, ketika perbezaan pandangan ketara masih wujud mengenai beberapa isu utama.
Pertemuan itu berlangsung dalam suasana tegang susulan serangan udara besar-besaran Rusia ke atas Ukraine.
Pada Sabtu, Rusia melancarkan ratusan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Kiev serta beberapa kawasan lain, menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan pemanasan di sebahagian ibu negara itu.
Zelenskiy menyifatkan serangan tersebut sebagai reaksi Moscow terhadap usaha damai yang diusahakan AS.
Zelenskiy berkata, perbincangan di kediaman Trump di Florida akan merangkumi masa depan wilayah Donbas di timur Ukraine yang menjadi pertikaian, selain isu berkaitan loji janakuasa nuklear Zaporizhzhia dan beberapa perkara lain.
Sementara itu, Moscow terus menegaskan Ukraine perlu menyerahkan keseluruhan wilayah Donbas, termasuk kawasan yang masih berada di bawah kawalan Kiev.
Pegawai Rusia turut membantah beberapa aspek cadangan terbaharu, sekali gus menimbulkan keraguan sama ada Presiden Rusia, Vladimir Putin, akan menerima sebarang hasil daripada pertemuan tersebut.
Zelenskiy sebelum ini menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan pungutan suara ke atas pelan damai 20 perkara hasil rundingan selama beberapa minggu sekiranya cadangan AS tidak dapat dipinda, dengan syarat Rusia bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama 60 hari.
Sekutu Eropah, meskipun tidak sentiasa terlibat secara langsung, dilaporkan telah meningkatkan usaha bagi merangka jaminan keselamatan pascaperang untuk Ukraine dengan sokongan Amerika Syarikat. -REUTERS