fb fb fb fb fb

Pakar kripto AS dipenjara 63 bulan kerana membantu Korea Utara

NEW YORK, 13 April - Seorang pakar mata wang kripto Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara 63 bulan kerana menasihati Korea Utara tentang cara mencipta perkhidmatan mata wang kripto dan teknologi blockchain untuk memintas sekatan AS berhubung program nuklearnya, kata pegawai mahkamah di New York.

Virgil Griffith, 39, mengaku bersalah bersubahat melanggar undang-undang AS, dalam usaha mengurangkan hukuman bagi jenayah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

"Tidak dapat dinafikan bahawa Korea Utara menimbulkan ancaman keselamatan negara kepada negara kita, dan Pyongyang telah menunjukkan berkali-kali ia tidak akan berhenti untuk mengabaikan undang-undang kita demi kepentingannya sendiri," kata Pendakwa Raya, Damian Williams

Beliau berkata Griffith telah membuat pengakuan di mahkamah bahawa dia mengambil tindakan itu untuk mengelak sekatan yang disediakan bagi menghalang Korea Utara daripada membina senjata nuklear.

Berdasarkan fakta kes, pada April 2019 Griffith telah membuat pembentangan di Pyongyang, mengenai mata wang kripto dan teknologi blockchain.

(Foto fail)

Dalam persidangan itu, dia menyalurkan maklumat tentang bagaimana Korea Utara boleh menggunakan teknologi blockchain untuk pengubahan wang dan mengelak sekatan, termasuk melalui "kontrak pintar," menurut mahkamah.

Griffith ditangkap di lapangan terbang Los Angeles pada November tahun yang sama.

Sebagai tambahan kepada 63 bulan penjara, dia akan menghabiskan tempoh tiga tahun bawah bawah status percubaan.

Griffith memegang ijazah kedoktoran dari California Institute of Technology dan juga telah bekerja di Ethereum, platform global yang berpangkalan di Singapura dengan teknologi blockchain untuk kegunaan perniagaan dan kewangan, yang mempunyai mata wang kripto yang dinamakan bersempena namanya. -AFP

 

Media Baharu