fb fb fb fb fb

Padang rumput diracun, 26 kambing mati di Tebing Barat

Foto REUTERS

HEBRON,15 Februari- Peneroka haram Israel meracun kawasan padang rumput di Masafer Yatta, selatan bandar Hebron di Tebing Barat sehingga mengakibatkan 26 ekor kambing mati pada Jumaat.

Memetik agensi berita Palestin (WAFA), Ketua Majlis Kampung Birin, Faried Burqan berkata sebelum itu, peneroka haram menyerbu kawasan padang rumput yang sama dan menanam anak pokok sebagai persediaan merampas kawasan tersebut.

"Serangan Israel di wilayah selatan Hebron semakin meningkat, termasuk meracun telaga air dan padang rumput dalam usaha untuk memindahkan penduduk Palestin serta merampas tanah mereka bagi tujuan pembinaan penempatan haram," lapor WAFA.

Masafer Yatta adalah antara 19 kampung yang bergantung sepenuhnya kepada penternakan haiwan sebagai sumber utama kehidupan.

Terletak di Kawasan C Tebing Barat, kawasan tersebut berada di bawah kawalan penuh Israel daripada segi pentadbiran dan ketenteraan.

Kawasan berkenaan telah diisytiharkan sebagai zon tentera Israel yang tertutup untuk latihan sejak 1980-an dan dikenali sebagai Zon Latihan 918.

Pelanggaran Israel terhadap kawasan itu termasuk perobohan kandang haiwan, rumah, dan struktur kediaman.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM