fb fb fb fb fb

Padah rasis, lelaki warga China di Malawi ditahan ketika cuba larikan diri

LILONGWE, 21 Jun- Seorang warga China yang menjadi buruan dan dikehendaki di Malawi kerana menghasilkan video perkauman dalam bahasa Cina membabitkan kanak-kanak  telah ditangkap di negara jiran Zambia pada Isnin.

"Dia ditangkap di Chipata, Zambia selepas melarikan diri dari negara itu melalui laluan tikus,” kata jurucakap imigresen Malawi, Pasqually Zulu kepada AFP.

Lu Ke dituduh mengeksploitasi kanak-kanak di kampung Malawi dengan merakam video mereka menyanyi dengan unsur  perkauman tentang diri mereka sendiri, dalam frasa Cina yang mereka tidak fahami.

Dia kemudian menjual video itu di media sosial, urus niaga yang didedahkan minggu lalu oleh BBC.

"Kami mahu dia dibicarakan di Malawi," kata jurucakap polis Harry Namwaza kepada AFP, sambil berkata negaranya akan menuntut ekstradisi Lu.

Dalam satu video, seorang kanak-kanak berumur kira-kira sembilan tahun kedengaran berkata: "Saya raksasa dengan IQ rendah."

Dalam satu kenyataan minggu lalu, kedutaan China di Malawi mengecam tindakan perkauman oleh salah seorang rakyatnya.

"Perlu ditegaskan bahawa kerajaan China tidak bertolak ansur terhadap perkauman," katanya.

"China telah membanteras tindakan dalam talian yang menyalahi undang-undang sejak beberapa tahun lalu dan akan terus berbuat demikian.Pejabat kedutaan akan bekerjasama rapat dengan pihak Malawi dan memastikan isu sensitif ini ditangani dengan betul."

Kementerian hal ehwal luar Malawi memberitahu AFP bahawa mereka akan berbincang dengan rakan sejawat mereka dari China mengenai isu itu.

Malawi dan China menjalin hubungan diplomatik sejak 2008.Sejak 2000, China telah membiayai 21 projek pembangunan, termasuk lebuh raya bernilai AS$70 juta yang menghubungkan Malawi dan Zambia.

Pinjaman AS$80 juta daripada Export Import Bank of China dibayar untuk membina universiti baharu, bangunan parlimen baharu dan stadium kebangsaan.- AFP


(Lu Ke dituduh mengeksploitasi kanak-kanak di kampung Malawi dengan merakam video mereka menyanyi dengan unsur  perkauman tentang diri mereka sendiri, dalam frasa Cina yang mereka tidak fahami)
FOTO GOOGLE

Media Baharu