fb fb fb fb fb

Organisasi bantuan desak akses bantuan tanpa halangan ke Gaza

Bangunan kediaman runtuh akibat pengeboman Israel di Saraya, al-Rimal, Gaza, 4 Januari lalu/ AFP

GENEVA, 9 Januari- Organisasi bantuan mendesak akses bantuan yang selamat dan tanpa halangan ke Gaza.

Menurut Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), hujan lebat dan banjir telah merosakkan tempat perlindungan sementara di Gaza, menyebabkan ribuan orang tinggal di dalam khemah yang rosak dengan air setinggi 30 sentimeter (satu kaki).

Keadaan cuaca memburukkan lagi keadaan yang sudah tidak tertanggung di Gaza dan banyak banyak keluarga terpaksa berlindung di kem sementara tanpa keperluan asas seperti makanan dan selimut.

Setiausaha Agung IFRC, Jagan Chapagain berkata lapan bayi baru lahir yang tinggal di khemah tersebut dilaporkan meninggal dunia akibat kesejukan melampau.

"Kematian ini menunjukkan betapa parahnya krisis kemanusiaan di sana", katanya dalam satu kenyataan.

"Saya sekali lagi menyeru agar diberikan akses yang selamat dan tidak terhalang kepada pekerja kemanusiaan untuk membolehkan mereka menyediakan bantuan untuk menyelamatkan nyawa", katanya.

Menurut data Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), lebih 330 pekerja kemanusiaan terbunuh di Gaza sejak Israel menyerang Gaza secara berterusan bermula Oktober 2023.

IFRC menekankan bahawa penutupan pintu sempadan utama Rafah pada Mei lalu memberikan kesan kritikal terhadap situasi kemanusiaan dengan hanya sedikit bantuan yang kini masuk ke Gaza.

"Kekurangan penghantaran dan akses bantuan menjadikan keperluan yang mencukupi hampir mustahil," tambahnya.

Sementara itu, Badan Amal Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pula memberi amaran bahawa tiga lagi hospital besar di selatan Gaza hampir ditutup akibat kekurangan bahan api. MSF berkata mereka sedang berusaha untuk menghantar bahan api ke Hospital Nasser, namun ia hampir mustahil.

MSF menegaskan bahawa Gaza kini berada di tahap kritikal, apabila salah satu hospital pakar terakhir di selatan, berisiko tidak dapat beroperasi kerana kekurangan bahan api.

Pertubuhan itu juga memberi amaran bahawa sistem penjagaan kesihatan menjadi paling terjejas di Asia Barat ketika ini.-AFP

ROSLINA BINTI DIN