fb fb fb fb fb

Iran bebaskan wartawan Itali

Wartawan Itali, Cecilia Sala yang ditahan Iran atas tuduhan pengintipan kini kembali ke negaranya, Itali / Foto REUTERS

ROM, 9 Januari-Wartawan Itali, Cecilia Sala, telah dibebaskan oleh Iran pada hari Rabu dan kembali ke tanah air, tiga minggu selepas beliau ditahan di Tehran semasa menjalankan tugasan kewartawanan.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, dan Menteri Luar Negeri, Antonio Tajani, hadir menyambut ketibaan wartawan berusia 29 tahun itu di Rom.

Kehadiran kedua-dua pemimpin menandakan kepentingan politik yang diberikan kepada kes ini.

Sala, seorang penulis dan pengaudio siar, telah bekerja menggunakan visa wartawan biasa apabila beliau ditahan di Tehran pada 19 Disember atas tuduhan melanggar undang-undang Republik Islam Iran.

Beliau ditahan tiga hari selepas ahli perniagaan Iran, Mohammad Abedini, ditangkap di Milan berdasarkan waran Amerika Syarikat kerana didakwa membekalkan alat ganti dron yang digunakan dalam serangan pada tahun 2024 yang mengorbankan tiga anggota tentera AS di Jordan.

Iran menafikan penglibatan dalam serangan tahun lalu itu dan menolak tuduhan bahawa mereka memenjarakan Sala untuk menekan Itali supaya membebaskan Abedini.

Kerajaan Itali dalam satu kenyataan berkata bahawa Sala, yang telah ditahan dalam kurungan bersendirian di penjara terkenal Evin di Tehran dan telah dibebaskan.

Sala dibebaskan hanya tiga hari selepas Meloni membuat lawatan mengejut ke Florida untuk bertemu Presiden AS yang bakal dilantik, Donald Trump. Tiada butiran mengenai perbincangan itu yang didedahkan, tetapi Timbalan Perdana Menteri, Matteo Salvini, berkata mereka telah membincangkan kes Sala.

Laman sesawang berita Itali, Il Post, organisasi Sala bekerja, melaporkan bahawa Trump telah memberi lampu hijau kepada Itali untuk berunding dengan Iran dan berjanji untuk tidak mempolitikkan isu itu memandangkan pentadbiran Presiden Joe Biden yang bakal tamat.

Sumber politik kanan enggan memberikan butiran, tetapi berkata pertemuan di Florida itu adalah penting dan telah memainkan peranan dalam pembebasan Sala.

Sala, yang bekerja untuk akhbar Il Foglio dan syarikat podcast Chora Media, berada di Tehran untuk melaporkan perubahan terkini dalam masyarakat Iran.

Bapanya, Renato Sala, berkata dia sangat terharu apabila mendengar anaknya dalam perjalanan pulang.

“Saya hanya menangis tiga kali dalam hidup saya,” katanya, sambil menambah:

“Dalam tempoh ini, saya merasakan ia seolah-olah seperti permainan catur sedang dimainkan, tetapi terdapat lebih daripada dua pemain.”

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pasukan keselamatan Iran telah menangkap puluhan warga asing dan dwiwarganegara, kebanyakannya atas tuduhan berkaitan pengintipan dan keselamatan.

Kumpulan hak asasi menuduh Iran cuba mendapatkan konsesi daripada negara lain melalui penahanan tersebut. Iran menafikan dakwaan ini.

Sementara itu, Abedini masih berada di penjara Milan pada hari Rabu, dengan mahkamah dijangka memutuskan minggu depan tentang permohonannya untuk dibebaskan ke tahanan rumah sementara menunggu prosiding ekstradisi ke Amerika Syarikat.

"Buat masa ini, kedudukan Abedini tetap tidak berubah," kata pendakwa Milan, Francesca Nanni, kepada wartawan.

Jurucakap kementerian luar Iran, Esmaeil Baghaei, pada Ahad berkata bahawa penahanan Abedini adalah suatu bentuk tebusan.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD