fb fb fb fb fb

Warga Chile, manusia pertama berjaya berenang 2.5km di Antartika

(FOTO AFP)

SANTIAGO, 28 Februari - Warga Chile, Barbara Hernandez yang menjadi manusia pertama mencatat rekod berenang sejauh 2.5 kilometer di Lautan Antartika berkata rasa takut dan bukan orang lain menjadi rintangannya.

Wanita 37 tahun itu menamatkan cabaran tersebut dalam masa 45 minit dan 30 saat pada 5 Februari, dengan hanya mengenakan baju renang biasa, gogal, topi renang dan penyumbat telinga dalam suhu air sejuk mencecah 2.22 darjah Celsius.

Satu-satunya cara beliau dapat bertahan daripada cuaca sejuk itu ialah sifat tidak putus asa.

"Takut untuk gagal, tidak mahu mengecewakan mereka yang yakin pada diri saya adalah musuh terbesar saya," kata perenang yang diberi gelaran 'The Ice Mermaid' atau 'Duyung Ais'.

(FOTO AFP)

Hernandez mengimbas kesukarannya bagi mengatasi halangan mental untuk menamatkan jarak terbabit sekitar 25 padang bola yang bermula dari kapal Tentera Laut Chile berhampiran Pulau Greenwich di Antartika.

Sejurus selepas melepasi garisan separuh jalan, beliau berkata "Saya dapat merasakan sesuatu yang sejuk melalui jantung saya" iaitu tanda yang dikenali sebagai hipotermia, dengan risiko serangan jantung dan kematian.

Namun demikian, beliau bertekad melakukan yang terbaik dan terus berenang dengan perlahan sehingga ke garisan penamat iaitu pelampung di tengah-tengah lautan itu.

"Ia satu aksi yang sangat sukar," kata Hernandez kepada agensi berita AFP.

"Selepas sampai ke jarak batu pertama, saya rasa seperti saya tidak akan sampai ke pelampung itu. Saya rasa lengan saya berasa semakin berat namun saya tidak memberi tumpuan kepada itu," katanya.

Hernandez berkata, beliau telah mengimpikan detik itu sejak 10 tahun lalu.

Namun, beliau bukan sahaja cuba membuktikan pada diri sendiri, tetapi juga menggunakan profil awamnya untuk menyokong perlindungan marin.

"Apa yang menakutkan saya adalah Antartika menjadi semakin cair. Itu benar-benar menakutkan saya," katanya.-AFP

Media Baharu