fb fb fb fb fb

AS mohon Mexico ekstradisi anak raja dadah, untuk berdepan pendakwaan

FOTO REUTERS

BANDAR MEXICO, 28 Februari- Amerika Syarikat (AS) meminta Mexico mengekstradisi Ovidio Guzman anak lelaki kepada raja dadah, Joaquin El Chapo Guzman, susulan dituduh mengikut jejak langkah bapanya.

Ovidio Guzman, yang ditangkap pada Januari, didakwa menjalankan kartel Sinaloa bapanya, sejak El Chapo diserahkan kepada Amerika Syarikat pada 2017.

Menurut sumber, kedutaan AS di Mexico City telah membentangkan permintaan ekstradisi itu kepada kementerian luar negeri dan pejabat peguam negara.

Amerika Syarikat menawarkan ganjaran sehingga AS$5 juta dolar bagi mendapatkan maklumat Ovidio dan membawa kepada penangkapannya di bandar barat laut Culiacan.

Penahannya itu turut mencetuskan tindak balas kartel yang ganas apabila 10 askar dan 19 penjenayah terbunuh semasa operasi itu.

El Chapo sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Amerika Syarikat kerana mengedar ratusan tan dadah ke negara itu dalam tempoh 25 tahun.


(Anak El Chapo, Ovidio Guzman ditangkap pihak keselamatan Mexico pada 5 Januari lepas di Sinaloa.
Rakaman diperoleh menerusi kamera badan anggota./REUTERS)

Ovidio Guzman memperoleh perintah mahkamah pada Januari menghalang ekstradisi segeranya ke Amerika Syarikat dan seorang hakim memberi Amerika Syarikat sehingga 5 Mac untuk mengemukakan permintaan ekstradisi.

Menurut Washington, Ovidio Guzman dituduh membantu menyelia hampir belasan makmal memproses dadah jenis 'methamphetamine' di Sinaloa serta berkomplot untuk mengedar kokain dan ganja.

Dia juga didakwa mengarahkan pembunuhan pemberi maklumat, pengedar dadah dan penyanyi Mexico yang enggan membuat persembahan di majlis perkahwinannya.

Dia pernah ditangkap sebelum ini pada 2019, bagaimanapun pasukan keselamatan terpaksa membebaskannya selepas kartelnya melancarkan perang habis-habisan sebagai tindak balas.-AFP

Media Baharu