fb fb fb fb fb

Pengeksport tekstil utama Pakistan sambut baik pengurangan tarif AS kepada 19 peratus

Pemprosesan membuat kain di Liberty Mills Limited, Karachi/ REUTERS

KARACHI, 3 Ogos – Peneraju industri tekstil Pakistan menyambut baik keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menurunkan kadar tarif ke atas pakaian dari Pakistan kepada 19 peratus, berbanding kadar asal 29 peratus, namun menggesa kerajaan memberi perhatian terhadap isu kos utiliti yang tinggi di negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liberty Mills Limited, Temoor Mukaty berkata, pengurangan itu merupakan pencapaian besar hasil usaha kerajaan Pakistan, namun faktor lain seperti kos pengeluaran keseluruhan turut memainkan peranan penting dalam daya saing eksport.

"Ini merupakan penurunan ketara dari 29 peratus kepada 19 peratus, dan saya ingin memuji kerajaan Pakistan atas usaha yang dilakukan untuk mencapai kejayaan ini. Berada dalam julat tarif terendah sudah pasti memberi kelebihan jangka panjang kepada Pakistan," katanya.

Pakistan mengeksport pakaian bernilai kira-kira AS$4.1 bilion ke pasaran AS bagi tahun kewangan 2024, namun pemain industri masih berhati-hati dengan impak segera langkah tersebut.

Liberty Mills Limited merupakan salah satu pengeksport terbesar Pakistan, dengan keseluruhan pengeluarannya dieksport secara langsung dan tidak langsung kepada pelanggan termasuk vendor jenama antarabangsa, gedung membeli-belah dan syarikat pesanan mel. Produk yang dikeluarkan merangkumi pakaian, tekstil penjagaan kesihatan dan tekstil rumah.

"Kita mungkin mempunyai kelebihan satu peratus berbanding Bangladesh dari segi tarif, tetapi mereka memiliki kelebihan ketara dalam aspek kos buruh, kadar faedah, serta kos utiliti seperti gas, elektrik dan air yang jauh lebih rendah berbanding Pakistan," ujar Mukaty.

Beliau menegaskan bahawa tarif hanyalah satu faktor, dan keseluruhan struktur kos perlu dipertimbangkan dalam menilai daya saing negara sebagai pengeksport.

Sementara itu, Bangladesh berjaya merundingkan kadar tarif 20 peratus ke atas eksportnya ke AS, turun daripada cadangan asal 37 peratus oleh Presiden AS, Donald Trump. Langkah ini memberi kelegaan kepada negara pengeksport pakaian kedua terbesar dunia itu.

Kadar baharu itu sejajar dengan tarif yang ditawarkan kepada negara pengeksport utama lain seperti Sri Lanka, Vietnam, Pakistan dan Indonesia. India, yang gagal mencapai persetujuan menyeluruh dengan Washington, bakal dikenakan tarif lebih tinggi sebanyak 25 peratus.

Trump sebelum ini mengenakan tarif tinggi ke atas eksport dari beberapa rakan dagang utama termasuk Kanada, Brazil, India dan Taiwan menjelang tarikh akhir rundingan perdagangan pada Jumaat lalu.

Di Asia Selatan, Sri Lanka turut memperoleh kadar tarif 20 peratus, dengan pasaran AS menyumbang kepada 40 peratus daripada jumlah eksport pakaian negara itu bernilai AS$4.8 bilion tahun lalu.

“Saya ingin mengesyorkan kepada pengeksport dan komuniti perniagaan lain agar bertindak pantas kerana kita lihat India dan Bangladesh juga berusaha untuk merebut bahagian pasaran. Ini akan menjadi persaingan yang bergantung kepada kelebihan pemain terawal,” tambah Mukaty.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI