fb fb fb fb fb

Angka korban di Gaza meningkat kepada 60,430, kebuluran terus ragut nyawa kanak-kanak

Jumlah kematian rakyat Palestin di Gaza kini meningkat kepada 60,430 orang/ REUTERS

GAZA, 3 Ogos – Jumlah kematian rakyat Palestin di Gaza kini meningkat kepada 60,430 orang, manakala seramai 148,722 lagi cedera sejak konflik dicetuskan Israel pada 7 Oktober 2023.

Menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan Gaza, dalam tempoh 24 jam yang lalu, serangan berterusan tentera Israel telah meragut 98 nyawa dan mencederakan 1,079 individu.

Daripada jumlah itu, seramai 39 terbunuh dan 849 cedera ketika berada berhampiran kawasan agihan bantuan, menurut kenyataan sama.

Hospital di Gaza turut merekodkan sembilan lagi kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dalam tempoh 24 jam yang lalu, termasuk seorang kanak-kanak.

Ini menjadikan jumlah kematian berkaitan kebuluran sejak sekatan Israel bermula pada Mac lalu meningkat kepada 169 orang, termasuk 93 kanak-kanak.

Laporan Amaran Pengelasan Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disusun agensi-agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu mengesahkan bahawa Gaza kini berada di ambang kebuluran.

Satu daripada tiga penduduk Gaza dilaporkan tidak mendapat makanan selama beberapa hari, dengan kadar kekurangan zat makanan akut kini melebihi 16.5 peratus.

Lebih 320,000 kanak-kanak kecil kini berisiko tinggi mengalami kekurangan zat makanan akut, kata Timbalan Pengarah Eksekutif UNICEF, Ted Chaiban, dalam sidang media pada Jumaat.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI