PHNOM PENH, 3 Ogos - Kemboja meminta bantuan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk mendapatkan pembebasan 18 anggota tentera negara itu yang kini ditahan Thailand.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Leftenan Jeneral Maly Socheata menerusi hantaran Facebook memaklumkan pihak tentera Thailand telah mengesahkan bahawa kesemua anggota berkenaan berada dalam keadaan selamat dan Kerajaan Kemboja sedang berunding untuk memastikan pembebasan mereka.
"Kerajaan Kemboja bekerja keras dalam rundingan dan terus berusaha supaya Thailand memulangkan anggota tentera kami secepat mungkin serta dalam keadaan selamat.
"Kemboja juga telah mencadangkan kepada Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, supaya campur tangan dan menggesa Thailand agar segera memulangkan 18 anggota kami.
"Kementerian Pertahanan dan angkatan tentera Kemboja tidak akan sesekali meninggalkan mana-mana anggotanya dalam apa jua keadaan," menurut hantaran itu.
Permintaan kementerian itu dikemukakan beberapa hari menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) yang dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 7 Ogos di Kuala Lumpur.
Kedua-dua negara jiran itu masih terlibat dalam pertikaian di sepanjang sempadan bersama sejauh 817 kilometer di utara Kemboja.
Konflik di sempadan Thailand-Kemboja bermula dengan pertempuran singkat pada 28 Mei sebelum memuncak kepada pertempuran bersenjata pada 24 Julai.
Seramai 20 anggota tentera Kemboja ditahan pihak tentera Thailand susulan pertempuran di sempadan dalam konflik selama lima hari yang berakhir pada 28 Julai lalu.
Thailand telah membebaskan dua anggota tentera Kemboja yang cedera pada Jumaat.
Pertikaian bersenjata itu dihentikan sementara pada 28 Julai, selepas Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat dalam satu mesyuarat khas di Putrajaya yang dihoskan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.