SAO PAULO, 3 Ogos – Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di hadapan Konsulat Amerika Syarikat (AS) di Sao Paulo pada Jumaat bagi membantah tarif import sebanyak 50 peratus ke atas eksport Brazil serta mengecam tindakan yang disifatkan sebagai campur tangan Washington terhadap kedaulatan negara itu.
Tindakan itu susulan arahan eksekutif yang ditandatangani Presiden AS, Donald Trump pada Rabu, yang mengenakan tambahan tarif 40 peratus ke atas barangan Brazil, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 50 peratus.
Langkah itu mencetuskan kemarahan meluas di seluruh Brazil, dengan ramai pihak melihatnya sebagai campur tangan langsung AS dalam politik domestik negara Amerika Selatan itu.
"Kami akan buktikan bahawa tiada kuasa luar boleh memaksa kami mengubah Perlembagaan atau kerangka undang-undang kami. Kedaulatan negara mesti dipertahankan walau apa jua harga yang perlu dibayar," kata seorang penunjuk perasaan, Marcio da Cruz.
Pada 9 Julai lalu, Trump mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif tinggi ke atas Brazil, sambil mengaitkannya dengan penentangannya terhadap perbicaraan bekas Presiden Jair Bolsonaro berhubung dakwaan percubaan merampas kuasa selepas kalah dalam pilihan raya semula pada 2022.
Pada pertengahan Julai, Washington turut menggantung visa lapan orang hakim Mahkamah Persekutuan Brazil yang terlibat dalam perbicaraan tersebut, sekali gus mendorong Presiden Luiz Inacio Lula da Silva pada 17 Julai mengisytiharkan bahawa Brazil tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara itu.
Kenyataan itu turut diluahkan para penunjuk perasaan yang menyertai demonstrasi tersebut.
"Kami tidak mahu campur tangan dari Amerika Syarikat di negara kami. Negara kami berdaulat, ada kerajaan, ada Perlembagaan dan perlu dihormati. Dan mereka yang melakukan jenayah, seperti Bolsonaro, perlu segera dipenjara," kata Alcides Amazonas, seorang peserta perhimpunan.
Walaupun dekri kerajaan AS menyenaraikan lebih 700 kategori produk yang dikecualikan daripada tarif baharu itu – termasuk pesawat Embraer dan jus oren – dua eksport utama Brazil iaitu daging lembu dan kopi tidak terkecuali.
Tarif berkenaan dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Ogos, kini ditangguhkan dan hanya akan dikenakan bermula 6 Oktober, memberi sedikit ruang kepada pengeksport.
Menurut Kementerian Pembangunan Brazil, hampir 36 peratus daripada jumlah eksport negara itu ke AS masih terjejas akibat tarif baharu tersebut.
Kerajaan Lula kini giat berusaha mendapatkan lebih banyak pengecualian, dengan harapan dapat menggunakan kebimbangan domestik AS terhadap inflasi barangan penting seperti kopi dan daging sebagai kelebihan dalam rundingan.
Namun begitu, pakar berpendapat rundingan tersebut bakal berdepan kesukaran berikutan pengaruh politik yang semakin menebal.
"Tarif yang dikenakan ini jelas merupakan satu bentuk campur tangan politik terhadap proses dalaman Brazil, baik dari sudut undang-undang mahupun politik. Ia bertujuan memaksa Brazil beralih ke arah kesediaan pada pilihan raya presiden tahun depan.
"Ini bukan sekadar untuk menyelamatkan Bolsonaro, sebaliknya cuba mempengaruhi pengundi Brazil agar menyokong politik sayap kanan,” kata Profesor Vinicius Vieira, pakar politik antarabangsa.- REUTERS