NEW YORK, 9 Oktober - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan operasi ketenteraan rejim Zionis Israel di kawasan kejiranan Rimal dan Zeitoun di Bandar Gaza, yang disifatkan telah memburukkan lagi krisis kemanusiaan sedia ada di wilayah berkenaan.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata situasi di lapangan kini amat genting, dengan ribuan penduduk terperangkap di kawasan utara dan terpaksa bermalam di kawasan terbuka tanpa bekalan makanan serta tempat perlindungan mencukupi.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 42,000 penduduk Palestin mengalami kecederaan serius dan mengubah kehidupan mereka sejak dua tahun lalu, termasuk lebih 10,000 kanak-kanak. Sebanyak lebih 5,000 kes amputasi turut direkodkan.
Laporan terbaharu Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNOSAT) mendapati 83 peratus struktur di Bandar Gaza musnah atau rosak, melibatkan sekitar 81,000 unit kediaman.
Dujarric menyifatkan keadaan di Gaza kini sebagai 'amat berbahaya', dengan penduduk terus berdepan kekurangan makanan, air bersih dan tempat perlindungan, di samping ancaman keselamatan berterusan akibat serangan udara dan darat rejim Zionis.- REUTERS