fb fb fb fb fb

15 aktivis Tunisia pulang selepas ditahan rejim Zionis Israel

15 aktivis Tunisia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tunis/ REUTERS

TUNIS, 9 Oktober - Seramai 15 aktivis Tunisia yang ditahan rejim Zionis Israel dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tunis pada Rabu, disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada orang ramai.

Kumpulan aktivis itu pulang dari Jordan selepas dibebaskan bersama 131 aktivis lain pada Selasa, selepas penahanan mereka ketika menyertai misi kemanusiaan itu.

Aktivis Tunisia, Wael Naoura, mendakwa mereka mengalami layanan buruk sepanjang tempoh tahanan di Israel.

"Kami dipukul, diseksa, dinafikan ubat-ubatan, tidak dibenarkan mandi, dipisahkan dalam tahanan bersendirian, malah diserang oleh anjing.

"Pelbagai bentuk penderaan dan penyeksaan kami alami. Namun, tindak balas kami hanya dengan terus mengangkat slogan dan kekal bersemangat juang," katanya lagi.

Seorang lagi aktivis yang juga merupakan jurugambar Tunisia, Yassine Gaidi berkata, penyertaan mereka dalam misi tersebut bertujuan membuka laluan kemanusiaan bagi menghantar bekalan penting kepada rakyat Gaza.

"Kami pergi untuk memecahkan kepungan ke atas Gaza. Kami mahu membuka pintu kemanusiaan, satu koridor kemanusiaan ke Gaza. Kami membawa ubat-ubatan dan susu formula bayi bersama kami.

"Malangnya, kali ini kami tidak sempat sampai kepada mereka. Saya memohon maaf kepada saudara-saudari kami di Gaza. Mungkin kami mengecewakan mereka. Mereka telah menanti kami selama berhari-hari, dari terbit hingga terbenam matahari di pesisir pantai Gaza dan Khan Yunis," katanya.

Israel berdepan kecaman antarabangsa selepas pasukan tenteranya memintas sekitar 40 bot yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menahan lebih 450 aktivis antarabangsa.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI