MEXICO CITY, 9 Oktober - Enam aktivis Mexico selamat tiba di Mexico City pada Rabu disambut dengan laungan solidariti dan kibaran bendera Palestin oleh ahli keluarga serta penyokong mereka selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Kesemua aktivis terbabit dipintas tentera rejim Israel di perairan antarabangsa sebelum ditahan dan kemudiannya dihantar pulang melalui Jordan.
Setibanya di lapangan terbang, mereka mendedahkan pengalaman ditahan secara paksa serta mendakwa berdepan tekanan psikologi dan ugutan daripada pihak berkuasa Israel.
Wartawan, Ernesto Ledesma Arronte yang ditemui menyifatkan apa yang berlaku di Gaza sebagai satu bentuk pembunuhan beramai-ramai.
"Sedang berlaku satu genosid. Dalang utama kepada pembunuhan beramai-ramai ini ialah Amerika Syarikat dan Donald Trump, manakala pelaksana utamanya ialah Israel – Benjamin Netanyahu, setiausahanya dan menteri keselamatannya.
"Mereka datang kepada kami dan menuduh kami sebagai 'pembunuh kanak-kanak'. Kami semua dipaksa tunduk di atas tanah,” katanya.
Seorang lagi ahli flotila, Carlos Perez Osorio, berkata semangat mereka tidak pernah luntur meskipun didera dan ditahan secara tidak sah.
"Kami selamat tiba di tanah air. Kami diculik, dianiaya, tetapi mereka tidak pernah mematahkan semangat kami. Kami tidak pernah takut.
"Inilah buktinya – semua rakan seperjuangan di sini tidak pernah hilang semangat, jenaka dan misi kami. Kami akan terus bersuara mengenai Gaza," tegasnya.
Sementara itu, Arlin Medrano Guzman yang juga aktivis dalam misi GSF menegaskan bahawa perjuangan kemanusiaan tidak terhad kepada Palestin semata-mata.
"Apa yang berlaku bukan hanya di Palestin. Ia turut terjadi di Congo, Yaman, Amerika Latin dan di negara kita sendiri.
"Kita dapat lihat bagaimana kegiatan pengedaran dadah berkait rapat dengan senjata dari Amerika Syarikat. Mereka membekalkan senjata, dan kita di Selatan Global menjadi mangsa korban," katanya.
Kementerian Luar Mexico mengesahkan kesemua aktivis berkenaan ditahan di Pusat Tahanan Ktzi’ot di Israel sebelum dibebaskan.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, sebelum ini telah menuntut pembebasan segera mereka, menegaskan bahawa aktivis terbabit tidak melakukan sebarang kesalahan.- REUTERS