fb fb fb fb fb

Misi bantuan kemanusiaan Gaza dipintas lagi, 'Conscience' diusir ke pelabuhan Israel

Kapal Conscience dalam misi kemanusiaan ke Gaza/ REUTERS

ASHDOD, 9 Oktober - Sebuah kapal flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza, ‘Conscience’, yang dipintas rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa, dilihat tiba di Pelabuhan Ashdod pada Rabu.

Kapal berkenaan merupakan sebahagian daripada konvoi kemanusiaan antarabangsa yang berusaha menghantar bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza yang kini berdepan krisis kemanusiaan terburuk akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Menurut kenyataan Freedom Flotilla Coalition (FFC) – rangkaian antarabangsa aktivis pro-Palestin yang menganjurkan misi kemanusiaan maritim – kapal mereka telah dipintas secara paksa oleh pasukan tentera Israel ketika berada di perairan antarabangsa, menjadikannya insiden kedua dalam tempoh seminggu.

Misi flotila berkenaan bertujuan untuk memecahkan sekatan haram Israel ke atas Gaza dan menyampaikan bantuan kepada penduduk yang amat memerlukan, termasuk bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas lain.

Beberapa hari sebelum ini, Israel turut memintas sekitar 40 kapal dan menahan lebih 450 aktivis kemanusiaan dalam konvoi terdahulu, dikenali sebagai Global Sumud Flotilla, yang juga membawa misi sama – menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza.

Tindakan keras rejim Zionis itu sekali lagi mencetuskan kecaman antarabangsa, dengan banyak pihak menyifatkan sekatan ke atas Gaza sebagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta halangan terhadap usaha bantuan kepada penduduk awam. REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI