VALPARAISO, 9 Oktober - Ratusan nelayan Chile berarak di bandar pelabuhan Valparaiso pada Selasa bagi membantah kehadiran kapal asing yang didakwa menyebabkan penurunan hasil tangkapan tempatan serta kejatuhan harga pasaran.
Menurut kenyataan Tentera Laut Chile, tiada aktiviti penangkapan ikan haram dikesan dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara itu setakat ini.
Pengarah keselamatan maritim Tentera Laut, Sigfrido Ramirez memaklumkan sebanyak 166 kapal asing dikesan beroperasi di luar had 200 batu nautika di perairan Arica dan Iquique, namun tiada sebarang bukti menunjukkan aktiviti penangkapan haram berlaku dalam perairan Chile.
Bagaimanapun, para nelayan mendakwa hasil tangkapan mereka menyusut ketara sejak kehadiran kapal berkenaan, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan komuniti pesisir.
Menurut laporan Perkhidmatan Perikanan dan Akuakultur Kebangsaan Chile (Sernapesca), sebanyak 139 daripada 157 permohonan kemasukan pelabuhan oleh kapal asing telah diluluskan tahun ini, dengan semua kapal berkenaan mematuhi peraturan sedia ada selepas pemeriksaan dijalankan.
Kerajaan Chile menegaskan komitmennya dalam memerangi aktiviti penangkapan ikan haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia (IUU fishing), selaras dengan perjanjian antarabangsa yang ditandatangani negara itu.
Protes tersebut berlangsung ketika Chile — yang merupakan penandatangan Perjanjian Langkah Negeri Pelabuhan (Port State Measures Agreement) sejak 2009 — menyaksikan peningkatan mendadak dalam permohonan kemasukan pelabuhan kapal-kapal China selepas negara itu menyertai perjanjian tersebut awal tahun ini.
Kesatuan nelayan tempatan juga telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa bagi menyuarakan kebimbangan mereka, sementara kerajaan memberi jaminan akan mempertingkatkan pemantauan dan kerjasama bagi melindungi sumber marin negara.- REUTERS