fb fb fb fb fb

Korea Selatan desak rakyatnya ditahan misi FFC dibebaskan segera

Gelombang kedua Misi Freedom Flotilla Coalition, kapal dipintas tentera Israel/REUTERS

SEOUL, 8 Oktober - Kementerian Luar Korea Selatan menggesa pembebasan segera rakyatnya yang ditahan, selepas tentera Israel memintas sebuah kapal bantuan yang dalam perjalanan menuju ke Gaza.

Penganjur Freedom Flotilla Coalition (FFC) berkata, Israel telah memintas kapal dan menahan aktivis di atasnya, dengan Kementerian Luar Seoul mengesahkan seorang warga Korea Selatan turut berada dalam kumpulan itu.

Dalam video pra-rakam yang dimuat naik ke media sosial selepas kejadian itu, aktivis Korea Selatan Kim Ah-hyun merayu kepada kerajaannya supaya menuntut pembebasannya.

“Kami akan terus meminta pihak berkuasa Israel memastikan pembebasan segera dan adil warganegara kami secepat mungkin,” kata Kementerian Luar Korea Selatan dalam kenyataan.

“Kami juga akan menyediakan bantuan konsular yang diperlukan,” tambah kenyataan itu.

Kementerian itu memaklumkan bahawa pihaknya memantau pergerakan kapal tersebut dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa Israel bagi memastikan keselamatan warganya. -AFP

SITI AISHA MELISA YUHANIZ